Rabu

tentang hidup

aku tinggalkan rahim dan masuk ke kotak kecil bernama sekolah. seterusnya aku hanyut ke kolej dan universiti.

kemudian

pagi-pagi aku hanyut di lebuh raya. terdampar di kotak-kotak lebih kecil untuk mematikan masa dari 9 sampai 5.

selepas itu

aku pulang dan hidup di dalam kotak-kotak kecil di satu tempat bernama apartment. menjana tenaga untuk kitaran esoknya.

dan

di hujung hayat aku kembali ke ruang kecil. bersemadi dan bertemu titik fana.

Jumaat

tentang masalah sosial

1.0 PENGENALAN

Tidak dapat dinafikan bahawa dunia sekarang mengalami pelbagai jenis masalah. Semua lapisan masyarakat tidak terkecuali dari terkena impak nya. Tidak kira sama ada mereka tergolong di kalangan kelas atasan ataupun bawahan, bahkan doktor, peguam, peniagawan, kerani waima pekebun sekalipun tidak terlepas daripada mengalami masalah sosial.

Oleh yang demikian ada sesetengah bahagian daripada masyarakat yang mahu menyumbang tenaga untuk menangani masalah sosial ini, dan selebihnya tidak pun peduli. Ini adalah kerana terdapat pecahan masyarakat yang mengalami masalah sosial dan menderita kerananya sedang ada juga pecahan masyarakat yang gembira melihat sesetengah masyarakat terkena masalah sosial. Masyarakat memberi reaksi berbeza mengenai masalah sosial. Oleh yang demikian, perbincangan tentang bagaimana sesetengah golongan dalam masyarakat Malaysia dianggap lebih berisiko untuk terdedah atau lebih cenderung mengalami masalah sosial berbanding sesetengah golongan lain akan diterangkan dalam penulisan ini.

Para pengkaji sosiologi secara amnya berkongsi pendapat bahawa wujudnya masalah sosial dalam masyarakat di seluruh dunia. Namun, dalam pada masa yang sama mereka tidak sependapat dalam persoalan punca dan kaedah sesuai dalam menyelesaikan masalah sosial.

Seperti contoh, masalah penderaan kanak – kanak yang terjadi di Malaysia. Umumnya pakar pengkaji sosiologi bersetuju bahawa penderaan kanak – kanak sangat menyedihkan dan sepatutnya dibanteras secepat mungkin. Apa yang membezakan mereka adalah perkara yang melibatkan penentuan punca masalah dan kaedah penyelesaian yang sesuai. Ada di antara mereka berpendapat masalah akar adalah kemiskinan ataupun kurang pendapatan.
Walau bagaimanapun ada juga yang berfikir ibu-bapa yang sering mabuk dan tidak bertanggungjawab adalah punca utama masalah ini.

Lain – lain pendapat seperti kurang pendidikan, pengangguran dan keretakan rumah tangga turut menuju ke arah penderaan kanak – kanak. Perbezaan dalam mencari penyelesaian terhadap gejala tersebut juga terjadi di kalangan cerdik pandai ini. Ada di antara mereka menetapkan perlunya undang – undang yang keras bagi mengadili pendera kanak – kanak manakala yang lainnya berpendapat cara yang lembut lebih sesuai seperti mengadakan kaunseling dan sebagainya. Apapun pendapat sama ada dari cerdik pandai mahupun warga amnya masalah sosial adalah isu yang patut dibincangkan dan sepatutnya ia adalah agenda yang wajib diberi penekanan serius.


2.0 APAKAH MASALAH SOSIAL?

Umumnya, sesetengah kelakuan dianggap masalah sosial apabila sebahagian besar masyarakat atau sekumpulan kecil yang berupaya mempengaruhi masyarakat berfikir bahawa sesuatu kelakuan itu tidak sihat dan melanggar tatasusila dan norma masyarakatnya. Dalam keadaan yang sama masyarakat atau kumpulan yang relevan akan bertindak mencampuri situasi sebagai tujuan memperbetulkan keadaan.

Berdasarkan definisi di atas masalah sosial adalah subjektif dan berbeza mengikut keadaan. Oleh yang demikian apa yang telah dianggap masalah sosial mungkin tidak lagi dianggap masalah pada masa yang lain.

Seperti contoh, pelacuran dikira sebagai masalah sosial yang diberi perhatian secara serius oleh masyarakat Malaysia. Sesiapa yang ditangkap melakukannya akan dihukum di bawah peraturan yang sesuai. Bagaimanapun, di Thailand, aktiviti yang sama dianggap sebagai punca pendapatan yang menyumbang kepada pertumbuhan negara dan orang yang melakukannya tidak dihukum seperti di Malaysia.

Contoh yang lain boleh dilihat dari masalah penuaan populasi. Sepuluh tahun lalu orang tua bukan masalah kepada negara kerana bilangan mereka yang kecil. Justeru menguruskan keperluan mereka bukanlah satu isu besar. Namun jika dilihat pada hari ini bilangan mereka semakin meningkat. Kemajuan teknologi medikal dan pemakanan yang baik telah memanjangkan jangka hayat penduduk negara.

Perkara ini menjadi masalah apabila negara terpaksa menyediakan fasiliti seperti tempat tinggal, skim pencen, kemudahan kesihatan, pengangkutan dan sebagainya. Tanpa persediaan yang awal, fasiliti yang sepatutnya diberikan kepada warga tua mungkin tidak dapat dipenuhi seterusnya mendatangkan masalah kepada negara. Oleh yang demikian masyarakat telah mengklasifikasikan isu warga tua sebagai masalah sosial yang perlu diselesaikan.

Selain faktor masa dan lokasi, masalah sosial juga dibandingkan secara relatif kepada definisi. Seperti contoh, ahli geologi melihat pencemaran air dan udara adalah masalah sosial yang harus diberi perhatian berat sebelum ia terlambat. Bagi pengilang dan industrialis pula isu sedemikian dilihat sebagai perkara yang mendatangkan keuntungan. Lebih banyak asap dikeluarkan lebih besarlah margin keuntungan mereka. Samalah sifatnya dengan tuan tanah di kawasan setinggan.
Pada tuan tanah, masalah keadaan sekeliling dan keadaan rumah bukanlah masalah yang lebih penting daripada mendapatkan lebih banyak wang sewa bulanan. Namun, kerajaan tempatan pula menanggap ia sebagai tempat membiak pelbagai masalah sosial. Kawasan yang tidak mempunyai saliran air kumbahan dan longkang yang sempurna dan air bersih, boleh mendatangkan pelbagai penyakit dan masalah sosial.

Berdasarkan huraian di atas, ada dua persepsi yang boleh digunakan bagi melihat masalah sosial. Pertama masalah sosial adalah masalah objektif seperti pembunuhan, penderaan, keganasan rumah tangga dan penggunaan dadah. Kedua adalah persepsi yang melihat masalah sosial sebagai isu subjektif, pandangan ini akan lebih mementingkan faktor lokasi, tempat dan orang yang melakukannya dalam menjawab persoalan tersebut.

Oleh yang demikian, Robert Merton (1938) mengklasifikasikan masalah sosial ke dalam dua segmen. Beliau membuat dua perbezaan antara masalah sosial “manifest” dan masalah sosial “latent”.

Merton (1938) memberikan definisi masalah sosial “manifest” sebagai masalah sosial yang objektif secara semula jadi dan dikenalpasti oleh masyarakat sebagai sesuatu yang telah diketahui bahaya dan kesan masalah itu. Sebagai contoh, Merton (1938) mengutarakan masalah sosial “manifest” seperti pecah rumah, rompakan, ketagihan dadah, pembunuhan, penderaan dan penculikan.

Masalah sosial “latent” pula adalah masalah yang lebih objektif secara semula jadi dan masyarakat belum menganggap ia sebagai masalah sosial kerana ia tidak melanggar nilai, budaya dan norma sesuatu budaya. Contohnya pembalakan haram di hutan simpan, tipu timbangan oleh peniaga, dan tumpahan minyak oleh pemilik syarikat minyak gergasi. Walaupun masalah ini bertentang dengan norma, ia belum lagi dilihat sebagai masalah sosial.

Bukan semua isu yang meninggalkan kesan kepada masyarakat dikira sebagai masalah sosial. Ada beberapa faktor yang berada diluar kawalan manusia seperti kebuluran, banjir, dan gempa bumi. Perkara sebegini tidak dikira sebagai masalah sosial tetapi takdir tuhan.

Ada juga masalah yang berasal dari perubahan personaliti dan badan manusia. Orang sakit mental yang merayau-rayau tak tentu hala selalunya menyebabkan masalah sosial kepada masyarakat namun tindakan jarang sekali diambil kerana kelakuan sebegitu dianggap normal kerana sang pelaku adalah sakit mental.


2.1 KITARAN MASALAH SOSIAL

Sebagai tujuan memahami masalah sosial kita harus memahami kitaran hidup sesebuah masalah. Untuk memahami situasi kite perlu melihat reaksi masyarakat terhadap perkembangan dan pergerakan masalah sosial. Herbert Blumer (1997) mencadangkan kitaran hidup masalah sosial boleh dipecahkan kepada lima bahagian. Ianya adalah seperti berikut : menjumpai masalah sosial, mengenalpasti bahawa ia adalah masalah sosial, langkah pencegahan diambil, persediaan sebuah plan rasmi untuk membasmi masalah, perlaksanaan keputusan.

Menurut Blumer (1997), kelim – lima bahagian itu adalah proses evolusi. Setiap masalah perlu menjalani setiap proses dalam peringkat ini dan ia tidak terjadi secara automatik. Selain Blumer (1997), terdapat juga cubaan mentafsir kitaran hidup masalah sosial seperti Stuart Hadden (1973). Hadden (1973) menjelaskan ada empat tahap yang perlu dilalui oleh setiap masalah sosial.

Tahap pertama dipanggil ketidakpedulian. Pada tahap ini masyarakat melihat masalah itu sebagai suatu yang normal dan tidak merasakan ia akan membawa masalah atau impak yang merosakkan kepada masyarakat. Mungkin masyarakat dapat melihat bahayanya tetapi ia berlaku diluar sempadan mereka oleh itu mereka tidak merasa terancam dengannya. Fadden memanggil situasi ini sebagai “penggera belum berbunyi”.

Tahap kedua adalah apabila masyarakat menyedari bahawa terdapat masalah yang patut dilihat sebagai masalah sosial. Untuk mencapai tahap ini dua keadaan perlu dipenuhi terlebih dahulu iaitu pertama, masalah itu mesti mempunyai bukti yang ia adalah tidak baik dan membahayakan nilai dan norma budaya setempat kedua, masalah itu mestilah dirasai oleh sebahagian besar masyarakat.

Hadden (1973) mengingatkan bahawa apabila masalah sosial mencapai peringkat ini ia sudah pun berada pada tahap bahaya dan langkah drastik perlu diambil untuk mengelakkan ia menjadi terus parah. Peringkat ketiga adalah mobilisasi masyarakat ke arah menyelesaikan masalah tersebut. Untuk mencapainya semua kaedah yang wujud dalam sesebuah masyarakat akan digunakan sebagai elemen pendidikan, pemulihan, dan pencegahan sebagai tujuan membendung atau mengawal masalah sosial sebelum ia terlepas dari kawalan.

Peringkat terakhir dalam kitaran hidup masalah sosial adalah pembiusan. Menurut Hadden (1973), pada tahap ini masalah sosial telahpun diselesaikan dan ianya diiktiraf oleh masyarakat. Justeru semua usaha pemulihan dan pencegahan menjadi berkurangan.

2.2 TEORI TENTANG MASALAH SOSIAL

Ahli sosiologi merumuskan ada lima teori penting yang dapat menjelaskan masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat. Antara teori yang relevan adalah patologi sosial, kekacauan sosial, konflik nilai, teori label dan misbehavior.


2.2.1 TEORI PATOLOGI SOSIAL

Menurut teori ini individu yang terlibat dalam kelakuan yang bertentangan dengan nilai dan norma masyarakat dianggap sakit mental ataupun tidak normal dan tindakan patut diambil ke atas mereka. Sebaliknya sesiapa yang menurut norma dan mengikut keadaan hidup yang sesuai dengan nilai budaya masyarakat dianggap sihat secara mentalnya. Sokongan terhadap teori ini adalah apabila tiada orang yang terlibat dengan aktiviti bertentangan dengan nilai budaya dan norma, maka masalah sosial tidak akan wujud.

Antara sokongan awal bagi teori patologi sosial ini adalah menerusi pandangan yang menyatakan individu atau kumpulan yang terlibat dengan masalah sosial adalah mereka yang datang dari kelas masyarakat yang rendah dan tumbesaran yang tidak sempurna.

Casere Lombroso (1981) dalam kajiannya mendapati beberapa penjenayah mempunyai ciri fizikal yang mempunyai paten sama. Antaranya adalah dagu yang panjang, ukuran tinggi yang rendah, dan telinga besar.

Manakala dalam kajian terbaru oleh para patologi menunjukkan adanya peranan keadaan sekeliling dalam mempengaruhi individu atau kumpulan untuk terlibat dalam masalah sosial. Elemen sekeliling yang mempengaruhi pembentukan sesebuah kelakuan adalah kemajuan teknologi, birokrasi, urbanisasi, dan sistem politik dalam sesebuah masyarakat.


2.2.2 TEORI KEKACAUAN SOSIAL ATAU TEORI KETIDAKPASTIAN

Sejarah tentang teori kekacauan sosial bermula selepas perang dunia ke II. Semasa itu, masyarakat seperti di Amerika Syarikat dilihat sedang hidup dalam kekacauan. Terdapat banyak perubahan yang sedang berlaku waktu itu, pembangunan beberapa bandar baru, pembangunan luar bandar, dan kemajuan dalam bidang teknologi.

Masyarakat melihat sesuatu kekacauan terjadi apabila peraturan dan undang – undang tidak berupaya memimpin masyarakat ke arah berfungsi seperti yang sepatutnya. Ahli masyarakat juga melihat keadaan yang baru dialami membuat mereka merasa terasing dan tidak biasa. Kekurangan peraturan dan undang – undang menambahkan lagi kekeliruan mereka. Contoh terbaru bagi mengungkap teori ini adalah selepas kejatuhan Saddam di Iraq. Masyarakat yang baru bebas dari cengkaman kuku besi menjadi kelam-kabut kerana kekurangan peraturan dan panduan.

Berdasarkan senario di atas, ahli sosiologi membentuk teori kekacauan sosial untuk menjelaskan keterlibatan individu dan kumpulan dalam masalah sosial. Pendapat yang menyokong teori ini mengatakan masalah sosial terjadi apabila regulasi gagal berfungsi dengan baik dan efektif berdasarkan tiga sebab utama seperti : kurang bimbingan. Situasi ini terjadi apabila tiada peraturan untuk mengawal kelakuan hidup masyarakat. Oleh yang demikian masyarakat bebas bertindak untuk memastikan kelangsungan hidup mereka dalam suasana yang baru. Kemudian konflik budaya. Konflik budaya terjadi apabila sesuatu kelakuan menerima reaksi berbeza dari masyarakat berbeza. Menurut persepsi ini seseorang yang menganut sebuah peraturan akan dihukum dalam sebuah peraturan yang lain. Seperti contoh budaya yang diamalkan oleh imigran biasanya bercanggah dengan negara yang baru mereka diami. Oleh yang demikian kumpulan ini akan sentiasa bertembung dengan kesalahan – kesalahan budaya di tempat barunya. Seterusnya keruntuhan. Apabila peraturan dan undang – undang yang ada gagal untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan awam maka masyarakat dikira telah runtuh. Dalam hal ini individu dan kumpulan yang patuh pada undang – undang tidak menerima manfaat daripada kepatuhan mereka malah ada pula yang dihukum dengan alasan tidak munasabah. Kesan daripada keruntuhan masyarakat ini ialah kemusnahan sistem pegangan masyarakat dan individu. Kekecewaan yang timbul dari hidup tanpa panduan, konflik budaya, dan keruntuhan masyarakat membawa kepada masalah lain seperti penyalahgunaan dadah, pembunuhan, penculikan, dan bunuh diri. Oleh yang demikian, masalah ini boleh membawa kepada kemusnahan masyarakat.


2.2.3 TEORI KONFLIK NILAI

Secara umum semua masalah sosial melibatkan percanggahan nilai dalam sesebuah masyarakat. Perkara penting yang diberi perhatian dalam teori ini adalah hak setiap orang untuk mempertahankan nilai dan norma yang dipegangnya tidak kira di mana jua dia berada.

Teori ini mempunyai kaitan yang kuat kepada teori konflik Marx. Teori ini mendakwa masalah sosial wujud kerana adanya perbezaan sosial dalam masyarakat. Oleh yang demikian perbezaan yang besar boleh dilihat antara nilai orang miskin dan nilai orang kaya. Kewujudan perbezaan ini meningkatkan kehendak untuk berkonflik. Orang kaya mungkin merasa kurang senang dengan nilai yang dipegang oleh orang miskin.

Bagi orang kaya, mencari makanan dalam tong sampah adalah dilihat tidak elok kerana ia menyelerakkan keadaan selain membawa penyakit. Tetapi berbeza pula dengan yang miskin, mereka menanggap ia penting sebagai aktiviti meneruskan kelangsungan hidup.

Teori ini mencadangkan bahawa semua masalah sosial boleh diselesaikan sekiranya wujud kesamarataan dalam sesebuah masyarakat. Pemahaman di dalam sesebuah kumpulan boleh merendahkan kebarangkalian untuk berlakunya konflik. Justeru perbezaan nilai antara masyarakat akan hilang. Jikalau keadaan ini dapat di adakan maka masalah sosial boleh diselesaikan lebih cepat dan tangkas.


2.2.4 TEORI MISBEHAVIOR

Ahli sosiologi yang berpegang kepada teori misbehavior percaya kepada kewujudan masalah sosial sebagai cerminan imej sesebuah masyarakat dan nilai-nilainya. Oleh itu, lebih besar dan lebih banyak masalah sosial dalam sesebuah masyarakat maka lebih buruk lah persepsi masyarakat luar terhadap nilai dan norma nya.
Teori ini mendakwa individu atau masyarakat yang terlibat dengan masalah sosial adalah mereka yang mahu menunjukkan rasa tidak puas hati dan bantahan terhadap peraturan dan undang-undang yang sedia ada. Ketidakpuasan hati menyebabkan mereka bertindak menentang peraturan dan norma.

Ada beberapa sebab mengapa individu dan kumpulan merelakan diri untuk menentang peraturan dan undang-undang sedia ada yang mana menyebabkan mereka terjebak dengan pelbagai masalah sosial. Antaranya adalah : mereka sedang cuba mencapai satu matlamat jangka masa panjang, terlalu lama terdedah kepada keadaan atau kelakuan yang tidak sihat, untuk melepaskan masalah peribadi, mereka tidak dipedulikan dalam masyarakat.
Berdasarkan faktor di atas, terdapat beberapa individu dan kumpulan yang terlibat dalam bermacam-macam masalah sosial seperti yang kita lihat hari ini.


2.2.5 TEORI LABEL

Berdasarkan teori ini, masalah sosial terjadi disebabkan reaksi masyarakat terhadap sesuatu perkara. Misalnya jika masyarakat memandang sesuatu perkara sebagai masalah sosial maka, perkara itu akan diterima sebagai masalah sosial kepada masyarakat itu.

Perkara yang sama juga tertakluk kepada individu dan kumpulan. Jikalau tindakan mereka dianggap oleh masyarakat sebagai masalah sosial maka individu dan kumpulan itu dianggap terbabit dengan masalah sosial. Keadaan ini dinamakan melabel.
Di bawah teori label, ada dua kaedah menerangkan bagaimana seseorang atau sesebuah kumpulan boleh terlibat dengan masalah sosial


2.2.5.1 MISBEHAVIOR PRIMER

Kaedah ini menerangkan manusia biasanya melakukan sesuatu tindakan yang dikira sebagai masalah sosial apabila ia bertentangan dengan nilai budaya dan norma. Bagaimanapun, masyarakat melihat tindakan tersebut sebagai normal dan bertepatan. Oleh yang demikian pelaku itu tidak dilabel sebagai seorang yang terbabit dengan masalah sosial.

Sebagai contoh, seorang pegawai bank yang berlari sambil telanjang keluar dari banknya yang terbakar. Perkara yang sama juga dilihat apabila mahasiswa universiti menjerit atau tak keruan apabila tarikh “due date” dan peperiksaan semakin hampir. Dalam keadaan sebegitu, masyarakat tidak melabelkan mereka sebagai seorang yang terbabit dengan masalah sosial kerana masyarakat menganggap ianya normal pada situasi dan keadaan itu.

Jika tindakan yang sama dilakukan tetapi berlainan senario maka ia akan dianggap sebagai masalah sosial yang serius. Contohnya pegawai bank dan mahasiswa yang berlari bogel dan menjerit tidak semena-mena.
Ada juga masyarakat yang tidak mempedulikan tindakan atau aktiviti tersebut. Ini menyebabkan pelaku merasakan kelakuan mereka diterima masyarakat. Seperti contoh berpegangan tangan antara pasangan yang belum berkahwin dan berdua-duaan di tempat jauh dari orang.

Dalam Islam tindakan itu dikira masalah dan perlu dibanteras. Namun, masyarakat amnya tidak mempedulikan kelakuan itu dan para pelaku akan meneruskan aktiviti mereka tanpa merasa bersalah kerana tiada bantahan atau kompelin dari masyarakat.


2.2.5.2 MISBEHAVIOR SEKUNDER

Misbehavior sekunder berbeza dengan primer. Menurut kaedah ini, masyarakat sedar dan prihatin tentang keadaan sekelilingnya. Masyarakat yang berkelakuan menurut kaedah ini akan melabel segala tindakan yang tidak selari dengan nilai dan norma sebagai masalah sosial dan ia perlu di perbetulkan secepat mungkin. Selalunya, hukuman, denda, dan segala macam kaedah kawalan digunakan untuk membendung masalah secara cekap.

Individu yang atau kumpulan yang berlari telanjang atau menjerit tidak tentu hala akan dilabel sebagai sakit mental atau gila. Justeru jikalau mereka berterusan melakukan kelakuan itu maka label itu akan melekat kepada kumpulan atau individu itu.

Menurut teori ini lagi, melabel seseorang atau kumpulan dengan label yang tidak sesuai akan memberikan kesan negatif kepada mereka. Individu atau kumpulan itu kemudiannya setelah dilabel akan merasa tertekan dan memberontak untuk memenuhi kriteria label.

Sebagai contoh, seorang lelaki dilabel sebagai pencuri akhirnya akan terlibat dengan pencurian walaupun dia pada mulanya bukan seorang pencuri. Label itu telah membuatkan langkahnya terhad untuk maju ke depan. Maka dengan peluang yang terhad, lelaki itu akan jatuh dalam golongan terdesak. Jadi cara mudah untuk keluar dari masalah adalah dengan melakukan apa yang telah dilabel selama ini sebagai tujuan kelangsungan hidup.

Selain daripada teori di atas ada juga beberapa teori sosiologi lain yang sesuai untuk menerangkan bagaimana dan mengapa masalah sosial terjadi dalam masyarakat masa kini. Di antaranya adalah teori konflik, teori fungsional, dan teori interaksionis simbolik.


2.2.6 TEORI KONFLIK

Menurut teori ini punca sebenar masalah sosial adalah pergelutan merebut kuasa dan posisi sosial dalam masyarakat. Ketidakseimbangan ekonomi dan aspek sosial memburukkan lagi keadaan. Penyelesaiannya adalah dengan mewujudkan pengagihan kekayaan secara saksama diantara individu dan kumpulan di dalam masyarakat dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.

2.2.7 TEORI FUNGSIONAL

Teori ini mengenengahkan punca berlakunya masalah sosial berakar dari kegagalan masyarakat mengadaptasi perubahan situasi dan keadaan yang berubah dengan pantas. Masyarakat dalam teori ini perlu peka dan sensitif dengan peristiwa, punca dan sebab sesuatu perkara itu berlaku sebelum menetapkannya sebagai masalah sosial. Pemahaman bersama dan toleransi adalah faktor utama untuk membendung masalah sosial dalam masyarakat.

2.2.8 TEORI INTERAKSIONIS SIMBOLIK

Teori interaksionis simbolik ini mencadangkan bahawa tiada sesiapa pun yang secara sengaja mahu melibatkan diri dalam mana-mana masalah sosial. Selalunya mereka terpaksa dalam situasi seperti kemiskinan, kebuluran, keselamatan dan lain – lain sebab. Oleh yang demikian, ahli masyarakat sepatutnya perlu melihat masalah yang dihadapi menerusi sudut pandang pelaku itu sebelum menjatuhkan hukuman sama ada ianya satu masalah sosial atau tidak. Justeru menurut teori ini masalah sosial dapat diselesaikan dan masalah dalam masyarakat dalam diminimumkan.


3.0 RISIKO UNTUK TERDEDAH ATAU LEBIH CENDERUNG MENGALAMI MASALAH SOSIAL (DEVIAN)

Bagi menjelaskan perbezaan risiko untuk terdedah kepada masalah sosial, penulisan ini mengambil cabang devian sebagai kayu ukur dan contoh supaya memudahkan pemahaman tulisan. Oleh yang demikian bab ini akan membincangkan bagaimana seseorang atau kumpulan boleh menerima berbeza-beza tahap kecenderungan untuk terlibat dengan masalah sosial mererusi beberapa teori yang dikemukakan. Antaranya adalah : Teori Biologi, Teori Psikologi, Teori Behavioris dan Teori Sosiologi yang mengandungi Teori Anomie Durkheim, Teori Anomie Merton (1938), Teori Penyaluran Kebudayaan dan Teori Label .

3.1 TEORI BIOLOGI

Pendekatan pertama yang dapat menjelaskan dengan lebih lanjut berkaitan perlakuan ini adalah teori biologi. Teori ini mengandaikan faktor utama yang menjadikan tingkah laku seseorang itu menjadi devian adalah berasaskan ciri-ciri biologinya seperti gen, keturunan darah dan sebagainya. Teori ini diterangkan kerana terdapat pandangan yang menyatakan devian adalah penyakit yang memerlukan penerangan dari aspek sains dan perubatan (Rohani Awang, 1996: 132). Seperti yang diketahui, baka dan alam sekitar adalah faktor berasingan, setiap satunya mempengaruhi personaliti seseorang individu. Sekarang baru kita sedar apa yang difikirkan, dibuat ataupun dirasakan oleh seseorang itu sebagai seorang kanak-kanak, remaja, atau orang dewasa adalah hasil daripada hubungan yang wujud antara factor warisan biologi dengan pengaruh alam sekitar (Lester and Alice Crow, 1983 : 41 dan 42). Teori ini mempunyai pandangan, terdapat sesuatu kelainan dan kelemahan dalam pembentukan fizikal yang menyebabkan seseorang bertingkah laku luar biasa ataupun ke arah devian. Teori ini dikaitkan dengan seorang pakar sakit jiwa laitu Cesare Lombroso (1835-1909) yang berminat mengkaji kes-kes jenayah. Menurutnya, penentu utama kepada gejala jenayah adalah faktor biologinya iaitu ciri-ciri fizikalnya. Beliau mendapati, penjenayah mempunyai bentuk fizikal yang berlainan dan luar biasa daripada orang yang tidak melakukan jenayah. Biasanya penjenayah mempunyai kepala yang besar, rambut panjang, misai tebal, tidak kacak, bermuka bengis dan sebagainya. Selain dari pandangan Lombroso, William H. Sheldon (1949) pula menyatakan, tingkah laku manusia berkaitan dengan bentuk badannya. Menurutnya orang yang gemuk dan rendah endomorph ialah individu yang suka bersosial, suka makan dan mempunyai falsafah hidup yang mudah. Hal ini berlainan pula dengan jenis ectomorph iaitu orang yang kurus dan lemah, lembut, sensitif, mudah merajuk dan tidak begitu sosial. Manakala yang jenis mesomorph ialah orang yang berbadan tegap dan kuat, mudah resah, mempunyai banyak tenaga dan tidak bersifat sensitif. Kesimpulan teori Sheldon menyatakan jenis mesomorph berkemungkinan menjadi lencong (Glenn Myers Blair dan et. al, 1991: 56)


3.2 TEORI PSIKOLOGI

Mengandaikan tingkah laku devian adalah hasil daripada fikiran yang tidak siuman atau terganggu. Teori ini merangkumi teori personaliti yang menekankan perkembangan awal kanak-kanak. Teori ini juga mengandaikan proses ini tidak dipengaruhi oleh kebudayaan sekeliling (Rohani Awang, 1996: 134). Perkataan personaliti biasanya digunakan bagi menghuraikan perwatakan fizikal seseorang, corak pertuturan ataupun sopan santun dan berapa banyak daya penarik yang dimiliki oleh seseorang individu. Namun, ahli psikologi menerangkan personaliti ialah sesuatu yang membuat diri seseorang itu berkesan ataupun memberi seseorang itu pengaruh kepada yang lain atau dalam bahasa psikologinya nilai rangsang sosial seseorang. Personaliti juga ialah gambaran keseluruhan tingkah laku yang tersusun terutama sekali yang dapat dinyatakan oleh sesama menusia dengan cara tekal. Jadi, personaliti kita adalah adil daripada apa yang kita mulakan dan juga segala apa yanga kita alami dalam hidup. Personaliti juga adalah sekumpulan besar tindak balas sebagai satu keseluruhan (lester dan Alice Crow, 1983 : 216 dan 217). Oleh itu, kecacatan dan gangguan mental adalah sebab kajian teori psikologi ini timbul. Kecacatan dan gangguan ini pada amnya dianggap sebagai lencongan atau devian oleh masyarakat. Seseorang yang menghadapi penyakit seperti ini lebih cenderung melakukan devian. Teori ini juga boleh digunakan kerana sememangnya sebahagian kecil devian yang dilakukan berpunca daripada penyakit penyakit ini. Namun kebanyakan devian ini dilakukan kerana faktor-faktor lain. Antara contoh devian yang berpunca daripada dua penyakit ini adalah kes-kes pembunuhan kejam seperti memotong, mencincang mayat mangsa kepada ketulan dan sebagainya.


3.2 TEORI BEHAVIORIS

Teori Behavioris berpendapat, tingkah laku manusia bermula daripada naluri. Naluri difahamkan sebagai kecenderungan semula bagi untuk bergerak balas dengan cara yang agak rumit tanpa pengalaman lampau ataupun latihan. Berkemungkinan besar, perlakuan devian di kalangan remaja berpusatkan kepada naluri yang terdapat dalam diri seseorang. Terdapat beberapa naluri utama dalam diri manusia iaitu melarikan diri daripada bahaya, perasaan ingin tahu, perasaan jijik, suka bertengkar, menghina diri sendiri, penegasan diri sendiri dan naluri menjadi ibu bapa, peniruan, kebersihan, tamak haloba, persendaan dan sebagainya. Naluri terhasil daripada latihan iaitu tingkah laku manusia yang dipelajari. Tidak ada segala seperti bakat, kebolehan, perangai kecelaan dan ciri-ciri mental yang diwarisi. Semua gajala ini juga bergantung pada latihan yang diberikan semenjak dalam buaian lagi. Ahli tingkah laku tidak akan berkata “Dia mempunyai kebolehan menjadi ahli permain pedang yang cekap kerana mewarisi bakat bapanya”. Malah ahli behavioris akan berkata, “Anak ini memang mempunyai bentuk badan bapanya yang lampai dan jenis mata yang sama, tubuh badannya betul-betul serupa dengan bapanya dan dia juga mempunyai tubuh badan pemain pedang yang cekap, bapanya terlalu sayangkannya, bapanya meletakkan sebilah pedang yang kecil di tangannya semasa dia berusia setahun dan pada masa berjalan bersama-sama, bapanya bercakap mengenai cara bermain pedang, menyerang dan mempertahankan diri, kod pertarungan dan lain-lain.” Hal ini jelas menunjukkan jenis struktur badan tertentu termasuk latihan awal dan minat menyebabkan anak menjadi pemain pedang yang handal (John B. Watson 1991: 28 & 29)



3.3 TEORI SOSIOLOGI

Rohani Awang di dalam bukunya, Asas-asas Sains Sosiologi (1996: 134) menjelaskan teori-teori sosiologi ini wujud bagi menerangkan apa itu devian dengan melihat kepada proses kebudayaan, sosial dan struktur organisasi sesuatu masyarakat. Contohnya adalah penjenayah itu dibentuk oleh keadaan social ataupun dilahirkan begitu? Ahli sosiologi memberi keterangan kepada persoalan ini dengan memberi tumpuan kepada faktor-faktor yang menghasilkan devian, bukan ciri-ciri yang diwarisi semula jadi dalam tingkah laku manusia. Antara teori social adalah:


3.3.1 TEORI ANOMIE DURKHEIM

Istilah anomie ialah sesuatu keadaan seseorang itu hilang arah haluan ataupun keliru dengan nilai dan norma masyarakat yang menjadikannya dalam keadaan ‘ketiadaan norma’ atau normlessness. Oleh itu, menurut beliau conformity dan obedeince (pengukuhan) menjadi kurang penting apabila hasrat individu untuk mencapai sesuatu menjadi mustahil. Hal ini kerana, seseorang itu akan bebas melakukan tindakan yang tidak sesuai dan meniumbulkan perasaan tidak perlu kepada normanorma masyarakat. Teori ini berdasarkan tulisan Dudrkheim dalam menjalaskan fenomena manusia membunuh diri disebabkan oleh keadaan masyarakat dan bukannya individu itu sendiri. Menurut Durkheim, keadaan ini wujud kerana berlakunya keruntuhan ekonomi, perubahan sosial dan masa ketiadaan kawalan sosial dalam masyarakat (Durkheim, 1996: 131).


3.3.2 TEORI ANOMIE MERTON

Ketidaktentuan antara penekanan masyarakat bagi mencapai sesuatu matlamat juga membenarkan individu melaksanakan pencapaian matlamat itu melalui berbagai-bagai cara. Keadaan begini mewujudkan devian. Selain itu kebanyakan orang ingin mencapai kejayaan daripada segi material, martabat, kekuasaan dan lain-lain lagi. Akan tetapi, hanya caracara tertentu dibenarkan oleh masyarakat mencapai matlamat-matlamat itu seperti dengan taraf pendidikan yang tinggi atau kerja bergaji tinggi. Oleh kerana ketidakadilan struktur sosial, bukan semua orang mendapat peluang yang saksama bagi mendapat cara-cara yang dibenarkan ini. Contohnya orang miskin telah dinafikan hak kemasyarakatan yang sepenuhnya untuk mendapat pendidikan yang tinggi disebabkan oleh masalah kewangan (Robert Merton, 1957: 131) Jadi, bagi mereka yang inginkan kejayaan, terdapat dorongan yang kuat supaya mereka melakukan apa-apa sahaja termasuk jenayah bagi mencapai matlamat mereka. Hal ini dijelaskan oleh Merton, iaitu or;angorang yang gagal mencapai matlamat dalam hidupnya sanggup melakukan apa sahaja tanpa mengambil kira sama ada dia melanggar norma-norma kehidupan bermasyarakat ataupun tidak.


3.3.3 TEORI PENYALURAN KEBUDAYAAN

Manusia akan mengalami proses sosialisasi asas iaitu sama ada belajar mentaati peraturan dan norma sosial ataupun bertindak devian (Edwin Sutherland, 1940 : 136). Teori ini adalah berkaitan proses sesuatu tindakan devian itu dipelajari. Keadaan pembelajaran ini berlaku dengan menekankan kepada kumpulan mana mereka tergolong dan bagaimana mereka mempelajari serta menerima nilai-nilai yang terdapat dalam kumpulan aitu. Contohnya, seorang kanak-kanak yang tinggal dalam suatu kawasan yang mempunyai darjah kenakalan yang tinggi (Sutherand). Dia berkemungkinan terlibat sama dalam kegiatankegiatan itu. Namun, ia mungkin tidak akan berlaku sekiranya dia tinggal di kawasan lain. Kelakuan-kelakuan devian boleh dipelajari melalui interaksi dengan orang lain. Oleh itu devian wujud apabila seseorang itu berhubung dengan kumpulan yang melihat devian itu sesuatu yang baik daripada kumpulan yang menganggapnya sebagai tidak baik. Interaksi pula berlaku dengan kumpulan primer dan significant others (orang lain yang rapat) seperti kawan dan keluarga. Tetapi perlakuan devian ini dipilih oleh mareka yang mengehendaki untuk melanggar norma-norma dalam masyarakat. Remaja, lebih cenderung untuk terlibat dengan berkelakuan demikian sekiranya mereka sebahagian daripada kumpulan itu atau sub budaya yang menekankan nilai-nilai yang melencong. Berdasarkan pendekatan ini, contoh yang dapat diperhatikan ialah tentang ‘gengsterisme’ di kalangan remaja begitu ketara dan wujud seperti kongsi gelap. Ahli-ahli kongsi gelap ini akan berkongsi budaya’gengstrerisme’. Mereka menyanjung tinggi sifat-sifat ganas seperti ‘menunjukkan kekuatan dalam pertempuran’, ‘mengambil tindakan balas dendam’ dan tindakantindakan ganas yang lain. Mereka tidak ragu-ragu untuk membalas dendam. Sesiapa yang tidak turut sama dianggap tidak setia kepada kumpulan dan akan dihalau keluar dari kumpulan tersebut. Dalam situasi tersebut, sebagai ahli dalam sebuah kongsi gelap, tindakan mereka ini adalah conformity dan bukannya devian. Remaja disemaikan nilai-nilai ‘gengsterisme’ apabila mereka menyertai kongsi gelap. Melalui pergaulan dengan ahli-ahli kongsi gelap yang lain, remaja ini belajar nilai dan tingkah laku jahat yang akan sebati sebagai personaliti mereka.


3.3.4 TEORI LABEL

Pada dasarnya, teori ini menekankan sejauh mana sesuatu kelakuan itu dikatakan atau dilabel sebagai devian dan apakah pengaruhnya pada kelakuan seseorang itu. (Howard S. Becker, 1963: 137). Perlakuan melencong itu disebabkan seseorang itu dilabel begitu. Tindakan melabel seseorang sebagai melakukan devian akan membawa kepada kenyataan ataupun ramalan penyempurnaan kendiri. Contohnya, seorang individu dilabel sebagai banduan kerana merompak dan dipenjarakan. Dia mungkin sukar diterima masyarakat apabila dibebaskan dan gagal mendapatkan pekerjaan kerana dicurigai orang ramai. Keadaan ini menyebabkan dia melakukan rompakan-rompakan lain. Kesan melabel mewujudkan satu ‘stigma’ iaitu satu cap atau tanda buruk yang terletak kepada orang yang devian. Mereka dianggap sering melakukan perlakuan devian pada pandangan umum. Masyarakat juga cuba mengelak daripada berinteraksi dan menghukum mereka. Jadi aspek penting dalam teori ini adalah ada sebahagian kelompok lain. Kelompok yang berkuasa ini menentukan apa yang dianggap devian dan apa yang tidak. Oleh itu, perlakuan devian dinilai daripada segi kesan atau akibat tingkah laku kepada orang lain.


4.0 RUMUSAN

Masalah sosial adalah isu yang diperdebatkan secara meluas di dalam masyarakat. Perdebatan tidak hanya berlaku pada masyarakat kelas rendah tetapi ia juga melibatkan semua lapisan masyarakat sama ada di bandar, luar bandar, mahupun mereka yang berjawatan tinggi. Hampir setiap hari masyarakat didedahkan kepada segala jenis masalah sosial. Apa yang membimbangkan adalah masalah yang wujud sekarang tidak pernah wujud satu masa dahulu. Oleh kerana kepayahan dan masyarakat yang semakin kompleks sekarang, pendekatan serius perlu di ambil untuk mengatasi masalah sosial ini. Umumnya, sesetengah kelakuan dianggap masalah sosial apabila sebahagian besar masyarakat atau sekumpulan kecil yang berupaya mempengaruhi masyarakat berfikir bahawa sesuatu kelakuan itu tidak sihat dan melanggar tatasusila dan norma masyarakatnya. Dalam keadaan yang sama masyarakat atau kumpulan yang relevan akan bertindak mencampuri situasi sebagai tujuan memperbetulkan keadaan.




RUJUKAN


Ab. Alim, A.R. (1994) Pengantar Psikologi Bilazim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Ann Wan Seng, Khadijah Alari (1997). Penderaan Kanak-kanak, Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Azizi Yahaya, Shahrin Hashim, Jamaludin Ramli, Yusof Boon dan Abdul Rahim Hamdan (2007). Menguasai Penyelidikan Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur : PTS Publication Sdn. Bhd.

Braucht, G.N; Brakash, D; and Berry K.L. (1993). Devian Drug Use In Adolescence: A Review of Psychosocial Correlates. Psycho Bulletin

Cesare Lombroso (1981), Social Problems. Holt Rinehart Winston, New York

Chiam, H.K. and Fatimah, H. (1995) The Role of Parents in Preventing Drug Addiction in the Home. Paper presented at Persidangan Kebangsaan Penglibatan Ibubapa dalam Pencegahan Dadah anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri di Kuala Lumpur

Gragey, William, J. (1970). The Psychology of Disciplines in the Classroom. London: The Macmillan Co.

Herbert Blumer. (1997). Social Problems As Collective Behavior. Social Problems (Winter 1971) 18:298-306

Mohamad Najib Abdul Ghafar (1999). Penyelidikan Pendidikan. Skudai Johor Darul Ta’zim : Universiti Teknologi Malaysia.

Mok Soon Sang (2006). Siri Pendidikan PTK, Bah 1 : Kompentasi Umum, Multimedia – Es. Selangor : Resources Sdn. Bhd.

Robert K. Merton (1938). Social Structure and Anomie. American Sociological Review (October 1938), 3:672-682

Ronal W. Smith & Adrea Fontana. (1981). Social Problems. Holt Rinehart Winston. New York

Sabitha, M. and Mahmood, N.M. (1995). Pencemaran Budaya Remaja: Siapakah Yang Bertanggungjawab. Jurnal Kebajikan, 17(1), 44-53

Sayed, R. (1996). Masalah Sosial di Kalangan Remaja dan Tindakan Yang Perlu Dilakukan Oleh Pelbagai Pihak. Jurnal Kebajikan, 26, 24-29

Straus, M., Gelles, R., & Steinmetz, S. (1980). Behind Close Doors, Violence In The American Family. New York: Anchor

Stuart C. Hadden. (1973). The Social Creation of a Social Problem (Unpublished doctorial dissertation). Washington State University

Zainal Madon dan Mohd Sharani Ahmad (2005). Panduan Mengurus Remaja Moden. PTS. Bentong, Pahang : Professional Publishing Sdn. Bhd.

Rabu

tentang perasaan

ini adalah perasaan sugul tersudut berseorangan menunggu mentari pagi untuk membuat kepala berbintang-bintang supaya lekas tidur selepas balik dari kelab dangdut yang menginsafkan.

Isnin

tentang keinginan

ingin sekali baring di padang rumput

kemudian petik bintang

dan lihat ia

mencair di

tangan

tentang tiba-tiba



splat on the ceiling
shaping a tear
unhappy with the slightest stain on your soul
flooded with choices
you narrow your way
so people will love you
some people you'll see

i've been waiting patiently
dreaming for the day to come
i've been trying endlessly
searching for the remedy

the zeros are laughing
romance was a thing
unhappy to be first again
i don't know
no malice of forethought
a genius rhyme
you know when you're lucky
when you're in a band

i've been in the fog too long
dreaming of the day to come
i've been trying endlessly
searching for the remedy

i've been waiting patiently
dreaming for the day to come
i've been trying endlessly
searching for the remedy

"pada siapa aku mengadu pada dirimu"
"hatiku sedih bercampur pilu" - P.Ramlee

i've been waiting patiently
dreaming for the day to come
i've been trying endlessly
searching for the remedy

i've been in the fog too long
dreaming of the day to come
i've been trying endlessly
searching for the remedy

searching for the remedy

"hanya hidupku gelisah" - P.Ramlee

catching on to suddenly

"hanya tuhan ku berserah" - P.Ramlee

catching on to suddenly

i've been acting weirdly, catching on to..
suddenly.

i've been acting weirdly
catching on to..
suddenly.

Ahad

tentang gadis serba hitam

termasuk semalam sudah lebih lima kali aku terserempak dengan dia. seorang gadis bertudung toncet lengkap dengan sut serta kemeja serba hitam. bercakap di depan kamera sambil memegang pembesar suara sesekali nampak menjeling tepat ke arahku.

aku perhatikannya dari jauh sambil menghirup gelas kosong. aku tak senang duduk. terasa ingin sekali berbual dengannya. dia jeling lagi. seperti direnjat kuasa jelingan, buntut mulai panas. maka aku pun berangkatlah menghampiri gadis serba hitam.

dari dekat matanya unggu anggur. nampak mulus kulit mukanya. yang penting tiada tampalan makeup. lalu aku tanyakan namanya.

gadis serba hitam itu rupanya wartawan khas yang melaporkan tentang politik sahaja. tidak banyak maklumat yang dikumpul.

--

berpeluk guling tanpa kawan
mungkin tak ada lagi cinta buat orang lumpuh
sedang hatiku terus mengembara
ingin menarik bulan, di balik genting kaca

tiada tambahan koleksi nombor telefon.

Sabtu

tentang public phone

di sebuah perhentian komuter kelihatan seorang perempuan muda membelek-belek telefon bimbitnya. nampak seperti telefonnya telah kehabisan bateri.

kemudian corong suara mengumumkan kelewatan perjalanan. sekarang jam menunjukkan pukul 10.30 malam. di KL Sentral, train terakhir jam sebelas malam. perempuan itu mungkin tidak sempat ke destinasinya.

dia bangun, matanya berlegar mencari-cari sesuatu. lalu dia berjalan menghampiri public phone. dia berdiri disitu. memegang ganggang dan mula mendail. kemudian letak ganggang.

dia dail sekali lagi.

dan lagi.

dan lagi sambil membelek telefonnya yang sudah mati.

barangkali dia tak ingat nombor yang penting itu. dia menjauhi public phone dan duduk kembali.

dia belek lagi telefonnya yang telah mati. sesekali dia memandang-mandang seolah-olah mencari orang yang kenal. setelah seketika dia pun bercakap dengan seorang perempuan cina pertengahan umur yang duduk di sebelahnya dari tadi.

mereka bercakap-cakap sambil perempuan itu menunjukkan telefonnya yang telah mati kepada perempuan cina itu tadi. perempuan cina itu mengeluarkan telefon bimbitnya dan beri pada perempuan yang kematian telefon.

nampak seperti mereka sedang menukar kad sambil kedua-duanya hilang bicara terkatup mulut.

dia menyalin nombor telefon ke atas sekeping kertas kemudian menyerahkan kembali telefon perempuan cina itu dan bergerak segera ke public phone.

dia mula mendail kembali. kemudian letak ganggang.

dia dail semula.

dan lagi.

dan lagi.

barangkali orang yang dihubunginya sedang tidur.

jam sudah pukul sebelas. aku naik train terakhir meninggalkan panorama kota tentang seorang perempuan yang aku lihat sedang berada di platform seberang.

Selasa

tentang zina, rogol dan buang bayi

ketika menulis entri ini saya baru sahaja selesai membaca sekian banyak laporan tidak rasmi tentang rogol, zina dan buang bayi dari beberapa rakan di laman sosial facebook. perkara yang pernah menjadi suatu kejelekan kini sudah semakin diterima sebagai berita semi sensasi yang acap kali disebarluaskan. persoalan lalu timbul apakah di dalam ruang fikiran mereka tiada lagi berita yang perlu dihebahkan selain rogol, zina dan buang bayi? dan apakah penting bagi masyarakat untuk mengetahui perkara sebegini?

soalan saya bercabang dua : satu segi ia mempersoalkan tahap informasi yang mempengaruhi masyarakat ; dua, ia mempersoalkan pertimbangan moral dalam berkongsi maklumat sesama rakan di ruang sosial.

bagi menjawab persoalan pertama saya ingin memetik hebahan yang dibuat oleh seorang rakan, katanya : "Chendering, Terengganu: Celah batu pinggir pantai jadi pilihan pelaku zina di bulan Ramadhan..."

dari satu sudut ia tampak seperti mempromosi pelancongan maksiat tatkala umat sedang bertungkus lumus berusaha mengelak dari melakukanya. dari satu sudut pula ia seakan-akan mahu menasihati orang supaya tidak berbuat perkara itu disamping menyebarluas maklumat supaya ada tindakan (tetapi tidak terdaya untuk saya bersetuju dengannya).

seperti yang terdapat dalam dada akhbar picisan, cuba lihat bagaimana terperincinya berita zina, rogol dan buang bayi direncanakan di muka pertama akhbar tersebut seolah-olah mahu mendidik masyarakat tentang kegagalan pesalah yang tertangkap supaya tidak diulangi oleh pembaca sekiranya mahu melakukannya. baca bagaimana pemberita tidak tertinggal bahkan sehelai rambut pun untuk dilaporkan dalam berita jenis ini.

apabila pemikiran masyarakat telah terbiasa dengan sogokan maklumat begini apakah menjadi satu kehairanan sekiranya ia terjadi dihadapan mata mereka sendiri? dan apakah mereka yang telah terbiasa dengan berita zina, rogol dan buang bayi akan mula secara perlahan-lahan belajar dan mengambil iktibar dari apa yang dilakukan oleh pesalah yang kantoi?

dalam teori kawalan masyarakat dan kenakalan deviant, Sutherland dan Cressey (1970) dalam menggunakan istilah 'differential association' mengatakan bahawa sesuatu perbuatan tidak semestinya berlaku kerana seseorang mempunyai hubungan dengan orang yang pernah melakukan jenayah atau kenakalan contohnya hubungan warden penjara dengan banduan tidak menjadikan warden itu seorang penjenayah.

apa yang Sutherland dan Cressey cuba ketengahkan adalah kelakuan yang menyimpang dari norma masyarakat itu semuanya bermula dari pembelajaran tentang sesuatu menerusi komunikasi dan lain-lain punca ilmu seperti contoh membaca akhbar. tambah mereka lagi, motivasi penting untuk melakukan sesuatu penyimpangan dari norma bukanlah tekanan hidup atau escapisme dari masalah urbanisasi masyarakat moden tetapi ia adalah suatu proses apabila mereka telah menerima input tentang cara kerja dan modus operandi sesuatu kenakalan dan ditambah pula dengan definisi-definisi yang menyokong perbuatan yang terbina sepanjang mengetahui kaedahnya.

justeru bila melihat menerusi kacamata teori ini, maklumat yang dibekalkan kepada masyarakat kita pada hari ini maka kita boleh membuat kesimpulan bahawa media sedang mendidik masyarakat untuk merogol, berzina dan membuang bayi dengan lebih teratur, sistematik dan profesional supaya tidak tertangkap dan dijadikan bahan pelajaran untuk pelaku seterusnya.