Jumaat

mengapa saya berhenti merokok






pertama kali saya menghisap rokok adalah pada umur 9 tahun atau darjah tiga. ketika itu saya berkongsi duit dengan kawan yang 2 tahun lebih muda dari saya untuk membeli rokok di kedai mamak berhampiran. sebagai permulaan kami membeli marlboro kotak 7.

rasa kelat, pahit dan busuk sewaktu pertama kali menarik asap masuk ke mulut segera membuat saya tertanya-tanya : apakah yang begitu sedap dalam asap ini?

soalan itu tidak terjawab sehinggalah tiba bulan puasa dimana selepas berbuka saya dan kawan-kawan sebaya akan berkumpul dan merokok di suatu sudut celah-celah rimbunan pohon yang terdapat di taman perumahan kami.

setelah menahan diri sepanjang hari, tiba waktunya melaksanakan semua. rokok dinyalakan dan aahh.. sensasi ringan terasa di ruang perut yang penuh sebentar tadi. kepala berdenyut kencang tapi steady serasa ingin rebah dan tidur seperti ular - suatu pengalaman melayari nafsu setelah ia dipasung sepanjang hari. walaupun begitu, rokok masih lagi kelat, pahit dan busuk dan puasa tinggal sebagai pemangkin nikmat yang selama ini tidak diketahui.

saya pernah mendengar orang mencadangkan bulan ramadhan sebagai masa terbaik untuk berhenti merokok. bagi saya ia tidak munasabah kerana ia adalah seperti memasukkan penagih kedalam pusat serenti semata-mata untuk membuatkan ia jatuh rindu seberat-beratnya supaya apabila ia keluar kelak pengusaha dadah akan terus membuat untung.

sekarang anda mungkin dapat menjawab mengapa penagih seringkali masuk semula pusat serenti walaupun ia telah beberapa kali graduat. cuma mungkin sedikit tidak selesa jika saya katakan anda membayar untuk meneruskan kelangsungan perdagangan dadah di negara ini. bukan begitu?

kemudian apabila pulang ke rumah ibu dapat menghidu bau yang busuk itu. apabila seorang kanak-kanak berusia 9 tahun ditanya "kau merokok ke tadi" oleh ibunya maka semua orang yang punya akal sihat akan mengagak perkara yang sama - tidak mungkin ia akan menjawab "ya, yes, atau naam". justeru abang saya sering dijadikan sasaran.

tetapi lambat laun ibu dapat tahu juga. demi berhadapan dengan kenyataan, bapa mengadakan sidang dewan tergempar dengan mengusulkan suatu yang juga tergempar - yang tidak pernah kedengaran dalam house of common itu.

kau berdua, tertuduh yang dikatakan oleh jiran-jiran merokok tanpa segan silu di taman permainan tidak lagi boleh keluar rumah selama amaran ini berkuatkuasa. jika didapati kau berdua melanggari amaran ini, maka dengan itu rumah ini tidak lagi menjadi tempat tinggalmu. atau lebih kurang begitulah usul bapa.

usul tergempar oleh bapa disambut dengan penuh kepatuhan. bermaksud sekolah adalah tempat terbaik untuk merokok pula.

dan oleh kerana rokok adalah medium terbaik untuk memulakan perkenalan maka agak sukar untuk berhenti merokok disitu. dengan kenalan yang semakin hari semakin ramai dalam suasana yang tidak banyak boleh dilakukan untuk menyalurkan naluri memberontak, kanak-kanak akan memilih untuk merokok sebagai melayani gejolak jiwa mereka yang dirompak arus moden yang membosankan.

sementara ibu bapa di penjara pejabat, cikgulah yang menjadi tempat bagi mereka memberontak. lawan cakap cikgu adalah suatu trend. guru juga gagal membuat kanak-kanak berhenti merokok. sehinggalah saya mengenal perempuan. ada perempuan yang berkesan membuat kawan-kawan saya berhenti merokok serta merta.

otak kecil saya amat taksub dengan kebolehan mereka merudumkan sifat berantakan seorang remaja lelaki. lalu saya dapatkan seorang dan ia amat menarik - suatu pengalaman menunggu sesuatu untuk dilawan dengan kepatuhan. akhirnya teman perempuan saya pun menegur dan yang ditunggu-tunggu pun terdengar. dia menyuruh saya berhenti merokok.

saya berhenti merokok - cuma - untuk memberitahunya - yang - saya sudah tidak merokok. jauh dari ikhlas, perasaan yang timbul adalah tanda tanya tentang habuan yang bakal didapati dengan mematuhi kehendaknya. dengar kata dari kawan-kawan ia agak menarik. mungkin seperti patuh kapada united malay national organization untuk menunggu habuan kontrak longkang dan parit.

tapi perempuan tak tahan lama dengan saya. entah mengapa. mungkin saya tidak berduit atau kurang bahan lawak. apapun saya tak akan mengaku yang saya mudah bosan. haha.



justeru perempuan juga gagal membuat saya berhenti merokok.

sehinggalah saya menonton berita kenaikan harga rokok. waktu itu saya fikir kerajaan kita suka rakyatnya menghisap rokok kerana ia boleh mendatangkan keuntungan. mana tidaknya selama saya hidup cukai rokok adalah cukai yang tidak pernah gagal naik. untuk itu harga sebenar yang mungkin saya bayar untuk sekotak rokok adalah 20% kepada syarikat rokok dan 80% kepada kerajaan korup yang banyak rasuah.

saya tak kisah kalau syarikat rokok itu syarikat yahudi yang menembak orang palestine setiap hari kerana ramai muslim yang begitu gembira bergambar di starbuck sambil menghirup kopi darah palestine yang tak munasabah mahal harganya. saya tak kisah memberi duit kepada orang tua yang mencari rezeki dengan mengusung gedung rokok di celah-celah medan makan. saya tak kisah membakar duit untuk sesi berbual malam sehingga terbit fajar.

tetapi saya amat kisah untuk memberi duit kepada kerajaan korup yang mencekik rakyatnya tanpa sedar. citt. cinabeng!. kata saya dalam hati setelah memperoleh ephipany yang agak lambat. justeru saya menyelidik dan mendapati Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pernah menjumpai rokok haram (bermaksud tidak dicukai) yang dijual secara terbuka pada harga cuma RM1.80 sekotak. ini memberi maksud harga asal rokok tersebut lebih rendah daripada harga runcitnya. katakanlah harga asalnya RM1.30 dan penjual mengambil untung RM0.50. pada hemat saya penjual rokok haram itu telah menghalang kerajaan mengaut keuntungan daripada rakyatnya yang ketagih.

apa yang membuat saya yakin dengan pendapat yang kita tidak sepatutnya memberi duit kepada kerajaan yang korup ini adalah kerana cara perlaksanaan kempen kesihatan yang meragukan.

persoalan yang wajib anda tanya diri sendiri sebagai perokok yang berakal.

kalau betul kerajaan ingin membasmi gejala merokok dengan cara menaikkan harga kenapa tidak dinaikkan saja sehingga RM50 sekotak?

jawabnya mungkin begini :

a. kenaikan harga rokok mestilah tidak melebihi kemampuan pembeli (bermaksud kerajaan boleh membuat keuntungan dari ketagihan, bagi pembeli pula selagi mampu maka akan dibeli)
b. boleh juga tingkatkan industri kampung, industri buat rokok daun. (ini akan merugikan pengilang)
c. tukang seludup mungkin akan buat parti, kerana jika benar cadangan ini ingin diteruskan mungkin harga rokok seludup pun akan naik apabila permintaan mula meningkat
d. pembuat rokok di Indonesia boleh mula tersenyum meleret.
e. sebilangan pegawai inforcement yang kaki rasuah pun sudah mula berkira-kira. masyukkk
f. jangan terkejut jika akan terdengar kes anak bunuh ibu disebabkan si ibu tiada duit nak beli rokok untuk anaknya (Minta maaf ye dan jangan salah faham, saya sama sekali tidak berniat dan tidak mahu melihat kejadian ini berlaku tetapi kemungkinan tetap ada).
g. satu hari nanti pasti, rokok susah nak dapat. Kalau beli pun di pasaran gelap (tidak mustahil cara jual rokok sama dengan jual dadah). Harga rokok RM50 pun nanti sudah hampir sama dengan satu peket kecil ice (syabu).
h. apabila harga pun sikit lebih kurang dengan harga ganja dan dadah, tidak mustahil rokok akan menjadi sasaran pencuri. Permintaan tinggi dan harga dijual pun meningkat. Bersedialah.Mereka curi 200 kotak, jual sekotak dalam RM20 di black market.

kesimpulannya menaikkan harga rokok bukanlah cara untuk membasmi gejala merokok. ia hanya satu cara untuk mengaut keuntungan daripada ketagihan anda. dan anda telah membayar kepada sebuah penipuan.

bagaimana pula dengan 5 tahun fokus untuk kempen TAK NAK MEROKOK sebelum ini? Hasilnya? Selepas habis berjuta-juta ringgit daripada segi iklannya, kempen berbentuk ceramah dan pameran. selain iklan dan pengharaman sesetengah tempat merokok adakah anda pernah melihat orang didenda kerana merokok? stesen bas umpamanya masih lagi jadi medan merokok. bererti sekadar di atas kertas dan dalam televisyen kempen seumpamanya tidak menyentuh perokok itu sendiri.



setelah menyedari bahawa saya adalah mangsa penipuan sebuah kerajaan yang korup saya terus mengambil keputusan untuk berhenti memberi mereka wang dalam bentuk pembelian rokok. disamping itu saya juga dapat berjimat sambil menikmati hidup yang sihat bebas dari asap.

justeru untuk berhenti merokok tidak perlu menunggu bulan ramadhan atau bebelan ibu atau amaran cikgu atau ugutan kekasih. cuma fikirkan yang anda membayar kepada kerajaan yang korup untuk mendapat penyakit yang mana kerajaan itu juga mengambil duit anda setiap kali memasuki lebuhraya, mengenakan cukai 300% untuk kereta anda kemudian duit itu digunakan untuk percutian mewah mereka sedangkan di akhir bulan poket anda kosong. kalau anda masih juga mahu merokok anda adalah seorang yang bodoh. kalau anda mempunyai PhD, anda adalah seorang bodoh yang diiktiraf. maka bersyukurlah jika anda perokok yang sekadar berkelulusan SPM.

Khamis

seorang gadis yang singgah di sudut pandanganku

seorang gadis manis
katakanlah bernama zainon
berlari dan berlari
melalui celah dedaunan
membawa sekuntum senyum
lalu dilempar kepadaku
dan ia turun ke sebuah tasik
yang tentunya tempat permandian

katakanlah ia memanggil diriku
nescaya aku hanya bisa berkata
dari sebalik kaca di kamar sempitku
nantilah kala ku terima surat
dari desa seberang
apakah ku bersamamu
atau membiarkan kau seorangan

Rabu

diri seorang bumi

berilah segala kekayaan yang ada dalam dunia ini kepada peniaga Bumiputra-Melayu untuk dijadikan modal dan ia tak akan cukup kerana mereka tidak dididik untuk mempercayai diri sendiri terlebih dahulu kerana modal paling berharga bukanlah dalam dollar atau pound, sebaliknya ia adalah diri sendiri. selama saya hidup, perdana menteri, guru-guru, televisyen, surat khabar dan kawan-kawan belum pernah gagal merendahkan pandangan masyarakat terhadap kaum ini. dan apabila dana besar disalurkan kepada bumiputra kita dapat lihat kemana perginya duit itu dan kemana perginya melayu.

Sabtu

dilanda ragu

jiwamu telah masuk kedalam aliran darahku dan meracuniku

lalu kita melebur menjadi satu dan mencipta bisa yang merosakkan