Isnin

Enam



Aku suka kelas corot! Aku taknak pindahlah! bentak Hadi lepas cikgu keluar dari kelas menuju ke kelas lain yang lebih baik untuk mencari kalau-kalau masih ada tempat untuk hadi.

Aku tak pasti hadi sedang menyindir atau memang dia benar-benar sukakan kelas corot.

Aku dan Hadi tahu jika kami tetap di kelas corot itu, kami akan mendapat kelapangan dada serta bebas dari tekanan potensi kelas yang baik-baik.

"Hadi! kelas kuning dengan biru semua dah penuh, merah nak?" Tawar cikgu kepada Hadi. Hadi yang sepatutnya masuk kelas biru terlambat dua jam untuk hari pertama persekolahan darjah enam itu. Entah bagaimana, sekolah  menetapkan sesiapa yang mahu masuk kelas yang baik boleh duduk mana-mana tempat sementara masih ada kekosongan. Sudah pasti tempat hadi di ambil orang, jadi dia terus masuk ke kelas paling corot, Enam Oren.

Waktu mula-mula masuk dia terlihat aku dari pintu... dan tertawa. Apsal kau masuk sini? Tanya dia. "Sebab aku bodoh" jawabku.

Tapi sebenarnya berakhir di kelas tercorot sudah menjadi rencanaku sebelum tamat sekolah. Lagipun sepanjang darjah lima aku berdoa untuk tidak di terlalu pandai sehingga masuk kelas baik-baik.

Sehinggakan aku tidak menulis dalam kertas peperiksaan akhir tahun darjah lima.

Ia juga bagi mengelakkan tekanan dari cikgu-cikgu yang melihat potensi besar pada murid kelas pandai itu. Justeru aku mahu penyudah di sekolah itu dalam keadaan tenang dan aman sahaja.

Anggapan aku benar sekali. Cikgu kelas masuk dan kata-kata pertama beliau yang membuatkan hati kami ceria.. . Beliau berkata.. (sambil membetulkan cermin matanya yang kelihatan ala 60an) "Saya tak harap kamu dapat banyak A, jangan ada gagal sudahlah"

Hadi cakap yes!, Aku senyum cuma --

Dalam kelas itu ada macam-macam ragam orang yang aku belum pernah jumpa sebelum ini.

Ada dua orang buta huruf. Lima orang buta hisab. Dua orang kaki cerita tipu. Empat orang yang sudah tahu tapi suka dengar cerita dia. Dua orang perempuan gemuk hitam dan satu orang penagih gam dan tak pernah datang sekolah (aku tahu dia hisap gam sebab aku duduk satu kampung dengan dia).

Duduk di dalam kelas corot sebenarnya baik.

Baik untuk mental dan merasa yakin diri.

Bagiku ia seperti menghabiskan masa selama setahun di sebuah makmal antropologi dan sosiologi. Barangkali ia satu makmal yang luar biasa kerana aku dan Hadi boleh mengulangi eksperimen dan mendapat keputusan yang sama.

Paling menarik ketika kami mendapat kunjungan dari penuntut tahun akhir jurusan pendidikan sebuah universiti. Ada lima orang semuanya lelaki.

Aku terpaku kagum dan Hadi juga setuju. Mereka - para penuntut yang bakal membangunkan bangsanya itu bersungguh-sungguh benar membuktikan kekecilan otak, kelemahan akal, serta kata keupayaan otak yang ceperti bayi kecil yang menyebabkan kami di kelas tercorot. Bukan kerana lain.

Bukan kerana di rumah mereka itu tiada api atau selepas kelas terus ke bawah jambatan, atau mereka sekadar tidak memandang guru sebagai dewa dan mereka tidak takut masa depan yang gelap.

Apa lah yang nak dikhuatirkan dengan masa depan yang gelap?

Angkasa itu gelap bukan? Seluruhnya?

Apa cahaya?











Peluang terakhir untuk memaafkan diri



Aku telah gagal. Terimalah hakikat dan maafkanlah diri. Selepas ini tidak ada lagi kegagalan. Kerana sudah tiada apa yang mahu dikecapi.

Akulah pohon yang paling tinggi mengecap mentari. Tinggi lagi aku akan terbakar. Aku berakar kuat berbatang gagah. Tapi tiada berbuah. Akhirnya aku akan menjadi tunggul paling megah.

Aku tak mahu jadi begitu. Sebelum tua, sebelum menjadi tunggul, inilah peluang terakhir. Aku maafkan aku.

Sabtu

Sahabat celaka dan perempuan angkuh - Sebuah Naratif Sugestif Yang Mendapat Penarafan "Terlalu Kejam"



“Aku sayang dia kerana dia boleh membawaku ke jalan Allah”

Ia bermenung sejenak: kekasihnya baru sahaja menyatakan cintanya kepada sahabatnya sendiri. Ia ingat, semalam dan bulan lepas memandu dari KL ke Seremban memberikan bahagia kepadanya. Kini ia merasa pemanduan kosong tanpa tujuan.

Ia melilau ke sudut ingatan, mungkin kekasihnya sedang menduga perasaan kerana kebelakangan ini ia kurang memberi perhatian. Tapi tidak. Ia mulai buntu. Ia mesti segera mencari jalan keluar. Tapi bagaimana hendak mencari jalan keluar sedangkan ia mahu masuk semula?

Masuk semula ke taman yang pernah menghalaunya dulu. Masuk semula ke taman yang menjemputnya kembali hanya untuk memberi peluang melihat betapa tingginya tembok keangkuhan itu.

Alangkah aneh bila ia tetap berpusing-pusing mengumpul duit tapi untuk tujuan yang telah tiada. Yang terlihat hanyalah usahawan yang gigih menggapai impian terapung, tersedia di depannya namun sentiasa bergerak meninggalkannya ke tempat lebih tinggi.

Siapa pun akan menganggap itu kerja sia-sia. Tapi itulah cinta, sia-sia ia tanpa balas. Kadang-kadang berbalas juga sia-sia bila ia cuma tipu belaka.

Gugup ia mencari-cari jawapan, berjumpa sahabat celaka itu, dan membuka hati kekasih : mungkin ada kesedaran yang tergantung di antara nafsu dan keangkuhan. Tak ada. Ia gundah. Gementar mendengar tangis ibu : serasa mereka sepatutnya dibunuh… seluruh keluarga.

Perempuan itu tak pernah tahu, bahawa setiap hari diam-diam ia menitis peluh mengumpul hasil bagi memenangi cintanya. Dan sahabat celaka itu tak pernah tahu bahawa perempuan itu sama celaka perangainya dengan dia.

Jangan terkejut, bila suatu pagi kau terbangun dan kau tak lagi ada orang yang kau boleh permainkan dan masih sahaja menyayangimu walaupun kau sangat celaka pada pandangan semua orang.