Jumaat

bisul

Masalah penyair perempuan adalah mereka memilih untuk selamanya kekal dalam melankoli. Merintih sepanjang zaman. Mereka duduk dalam kelompok mahu menangis setiap kali berpuisi dan juga mengharapkan pendengar sama menangis. - Abdullah Jones.


Barangkali saya banyak menulis tentang orang. Lebih tepat jika saya katakan saya banyak menulis tentang perempuan. Oleh kerana itu saya melihat diri sebagai seorang yang lemah ilmu menulis dan tidak punyai pandangan bagus-bagus. Subjek perempuan jadi permainan dalam tulisan saya bukan kerana saya dikelilingi oleh mereka atau saya mendapat banyak bahan dari pakar-pakar ilmu jiwa wanita. Saya tahu saya sedang cuba jelaskan suatu perkara remeh yang tidak mungkin diberi perhatian oleh sesiapa. Tetapi saya merasa mudah untuk menulis tentang mereka dan bukanlah saya mengharapkan apa-apa selain dapat menulis dan melihat kembali apa yang telah saya nukilkan sebagai pemerhatian dan kritik sosial yang dangkal.

Saya mempunyai beberapa orang rakan yang menghabiskan banyak masa muda dalam kesedihan. Mungkin ada seronok di dalamnya. Tetapi saya cuma ada persoalan-persoalan. Bagi saintis politik, soalan lebih penting daripada jawapan, justeru saya berikan kepada rakan-rakan yang sedang sedih atau sedang mencari perhatian berbekalkan kesedihan dengan sajak yang saya sudah lupa saya curi dimana. Semoga berhasil.

Mengapakah engkau memilih
hidup bernafas dalam kesedihan,
dan mengulur-ulur penyesalan
atas kesalahan masa lalumu?

Mengapakah engkau memilih
untuk hidup di masa lalu,
saat semua orang hidup di masa kini?

Apakah engkau mampu mengubah
yang sudah terjadi
dengan menjadikan dirimu peratap
yang tak menarik bagi belahan jiwa
yang dimuliakan Tuhan?

Sudahlah, hiduplah sepenuhnya hari ini.

Gembirakanlah dirimu.

Tiada ulasan: