Mengambil waktu untuk diriku
Bukan mementingkan diri
Hanya menjamin kewarasan ini
Dalam dunia yang penuh dengan
Liku-liku dan dugaan
Waras - Afdlin Shauki
Jam pukul 4:22 pagi dan aku masih tersangkut pada bahagian tengah sebuah rangka kerja menakluki pemerintahan melalui hati dan minda. Sebuah bahagian yang semalam terasa seperti air deras memenuhi aliran fikiran.
Aku menerima pandangan dari pelbagai sudut dan tidak adil bagi seseorang dalam bidang kaji politik untuk memandang isu politik dari sudut simpatisan mana-mana parti biar ia betul sekalipun. Pandangan seorang pengkaji politik harus semestinya berlandaskan kepercayaannya pada falsafah yang di agungkannya, misal kata aku, libertarian sosialis. Libertarian kerana percaya manusia dalam kelompok tertentu pasti dapat memimpin komunitinya sendiri sesuai dengan hadis dalam tiga orang lantik lah seorang daripada kamu sebagai ketua. Aliran ini menolak campurtangan kerajaan yang berat pada hidup rakyat. Tahap tertinggi falsafah ini terlihat apabila kata nama kerajaan itu hanya difahami sebagai watak yang mentadbir tentera semata mata. Sosialis kerana aku gagal memahami kehendak murni tentangannya iaitu kapitalis.
Walaupun aliran Libertarian dan Sosialis sama sekali bertentangan dalam perbincangannya dalam kaedah mentadbir negara namun pada amatan aku amalan negarawan sosialis hanya perlu dibetulkan sedikit untuk sesuai dengan masa sekarang. Asas utama bagi pimikiran sosialis adalah mengembalikan hasil dari titik peluh rakyat untuk kegunaan mereka. Kalau nak diberi contoh mudah : mengambil harta si kaya dan memberikannya kepada si miskin. Pendekatan ini juga menganjurkan pemiliknegarakan punca ekonomi seperti minyak, air, elektrik, bahan mentah dan tanaman utama memerlukan campurtangan yang tinggi oleh kerajaan sekaligus berlawanan dengan Libertarian bagi yang melihatnya berlandaskan pada idea mentah yang radikal sahaja.
Justeru Aku mengambil nasihat Dr Syed Hussien Ali yang pernah terhumban ke dalam ISA kerana idologi sosialisnya : jangan ikut seperti Parti Sosialis Malaysia, idea itu sudah lapuk, tak praktikal dan serupa badut yang bernostalgia dengan patung barbie tahun 60'.
Pada mulanya aku anggap Dr. seorang sosialis radikal tapi nasihatnya itu membuat aku fikir anjuran Islam yang bersederhana dalam segala tindakkan kelihatan munasabah. Kesederhanaan mula meresap dalam fikiran aku dan aku relakan ia ditanda sebagai kebenaran. Dari perbincangan di pejabatnya itu aku mengambil keputusan untuk meneruskan percampuran idea ultra kanan dan ultra kiri untuk dihadam sebagai jalur tengah yang sederhana. Dan beginilah aku aku belajar agama, iman dan amal dalam fikiran dan hati melalui perdebatan dan soal-soal praktis. Bukan tidak percaya kepada agamawan, cuma kaedah itu terlalu mudah. Aku hanya mahu menjamin ingatan dengan mengikatnya pada persoalan dan tanda-tanda tertentu.
Islam menolak perantara dalam hubungan manusia dan tuhan. Raja dan Sultan jika mahu terus relevan maka sudah tiba masa baginya berkhidmat setimpal dengan bayaran yang telah dikurniakan kepadanya.
Kekalahan parti pemerintah seakan pasti. Apa yang wajib diberi perhatian bukanlah pada kaedah mempertahankan kerusi atau menakluki kerusi tetapi persediaan untuk rakyat supaya dapat menyertai pentadbiran. Ini dilakukan dengan anggapan kuasa itu merosakkan dan kekuasaan mutlak merosakkan segala-galanya.
Aku menolak analisis Maslow yang mencadangkan kehendak paling asas manusia adalah keperluan asas seperti makanan, sex dan nafas semata-mata untuk memenuhi kelangsungan hidup. Pada aku keperluan asas manusia adalah kehendak untuk tidak berubah. Manusia amat sukar berubah. Sabda Nabi jika diterbalikkan dua buah bukit sekaligus aku percaya tetapi untuk manusia berubah belum tentu. Manusia menuju ke sesuatu yang lebih baik. Apa sahaja yang dilakukannya adalah demi kebaikan. Namun demi kebaikan, manusia enggan berubah. Yang gemuk mahu kurus, yang miskin mahu kaya, yang hodoh mahu cantik, yang bodoh mahu cerdik, yang tak berkuasa mahu berkuasa tapi semua itu hendak diperoleh tanpa melakukan perubahan.
Setiap hari anda pasti akan melihat iklan-iklan yang menjanjikan sesuatu tanpa berbuat apa-apa. Contohnya janji untuk kurus dengan minum air bancuhan, atau mendapatkan bahagia dengan barangan kosmetik dan sekali lagi, air bancuhan.
Sebagai manusia biasa yang tak dapat lari dari mengidamkan keajaiban aku melihat manusia sekelilingku juga mengamati dunia dari mata yang sama. Mata yang penuh pengharapan, harapan tanpa usaha. Seboleh-bolehnya semua orang mahukan kerajaan yang membela mereka dengan melimpahkan segala nikmat tanpa perlu berbuat apa-apa. Lihatlah warga kota dan bandar di Malaysia, mereka merungut dan menujukkannya dengan undi lalu berubahlah pentadbir-pentadbir. Kemudian, setelah ia bertukar mereka mengharap kebaikkan yang menyenangkan tanpa perlu susah berbuat apa-apa - tanpa berubah. Kebaikkan yang mereka mahukan tetapi tiada kos yang mereka sanggup bayar.
"Human kind cannot gain anything without first giving something in return. To obtain, something of equal value must be lost." Ed - Fullmetal Alchemist
peka
analisa
respon
pertisipasi -
aktivisma
Tiada ulasan:
Catat Ulasan