Selasa

tentang zina, rogol dan buang bayi

ketika menulis entri ini saya baru sahaja selesai membaca sekian banyak laporan tidak rasmi tentang rogol, zina dan buang bayi dari beberapa rakan di laman sosial facebook. perkara yang pernah menjadi suatu kejelekan kini sudah semakin diterima sebagai berita semi sensasi yang acap kali disebarluaskan. persoalan lalu timbul apakah di dalam ruang fikiran mereka tiada lagi berita yang perlu dihebahkan selain rogol, zina dan buang bayi? dan apakah penting bagi masyarakat untuk mengetahui perkara sebegini?

soalan saya bercabang dua : satu segi ia mempersoalkan tahap informasi yang mempengaruhi masyarakat ; dua, ia mempersoalkan pertimbangan moral dalam berkongsi maklumat sesama rakan di ruang sosial.

bagi menjawab persoalan pertama saya ingin memetik hebahan yang dibuat oleh seorang rakan, katanya : "Chendering, Terengganu: Celah batu pinggir pantai jadi pilihan pelaku zina di bulan Ramadhan..."

dari satu sudut ia tampak seperti mempromosi pelancongan maksiat tatkala umat sedang bertungkus lumus berusaha mengelak dari melakukanya. dari satu sudut pula ia seakan-akan mahu menasihati orang supaya tidak berbuat perkara itu disamping menyebarluas maklumat supaya ada tindakan (tetapi tidak terdaya untuk saya bersetuju dengannya).

seperti yang terdapat dalam dada akhbar picisan, cuba lihat bagaimana terperincinya berita zina, rogol dan buang bayi direncanakan di muka pertama akhbar tersebut seolah-olah mahu mendidik masyarakat tentang kegagalan pesalah yang tertangkap supaya tidak diulangi oleh pembaca sekiranya mahu melakukannya. baca bagaimana pemberita tidak tertinggal bahkan sehelai rambut pun untuk dilaporkan dalam berita jenis ini.

apabila pemikiran masyarakat telah terbiasa dengan sogokan maklumat begini apakah menjadi satu kehairanan sekiranya ia terjadi dihadapan mata mereka sendiri? dan apakah mereka yang telah terbiasa dengan berita zina, rogol dan buang bayi akan mula secara perlahan-lahan belajar dan mengambil iktibar dari apa yang dilakukan oleh pesalah yang kantoi?

dalam teori kawalan masyarakat dan kenakalan deviant, Sutherland dan Cressey (1970) dalam menggunakan istilah 'differential association' mengatakan bahawa sesuatu perbuatan tidak semestinya berlaku kerana seseorang mempunyai hubungan dengan orang yang pernah melakukan jenayah atau kenakalan contohnya hubungan warden penjara dengan banduan tidak menjadikan warden itu seorang penjenayah.

apa yang Sutherland dan Cressey cuba ketengahkan adalah kelakuan yang menyimpang dari norma masyarakat itu semuanya bermula dari pembelajaran tentang sesuatu menerusi komunikasi dan lain-lain punca ilmu seperti contoh membaca akhbar. tambah mereka lagi, motivasi penting untuk melakukan sesuatu penyimpangan dari norma bukanlah tekanan hidup atau escapisme dari masalah urbanisasi masyarakat moden tetapi ia adalah suatu proses apabila mereka telah menerima input tentang cara kerja dan modus operandi sesuatu kenakalan dan ditambah pula dengan definisi-definisi yang menyokong perbuatan yang terbina sepanjang mengetahui kaedahnya.

justeru bila melihat menerusi kacamata teori ini, maklumat yang dibekalkan kepada masyarakat kita pada hari ini maka kita boleh membuat kesimpulan bahawa media sedang mendidik masyarakat untuk merogol, berzina dan membuang bayi dengan lebih teratur, sistematik dan profesional supaya tidak tertangkap dan dijadikan bahan pelajaran untuk pelaku seterusnya.

Tiada ulasan: