Ahad

lalu pemuda pun minta dibunuh

berikan ubat supaya kami lekas tua


kehadapan tuan pemerintah serta kepala-kepala yang berada dibawah dulinya.

tuan, tujuan saya menulis ini adalah untuk memohon jasa baik pihak tuan supaya dapat dibekalkan kepada kami sejenis ubat yang berkesan membuat kami lekas tua. ini adalah kerana, usia muda kami seringkali menyebabkan pihak tuan merasa gusar dan risau dan oleh itu kami harus dituakan secepat mungkin.

tuan, adalah menjadi seperkara yang tidak dimengertikan mengapa di usia muda ini kami sering terangsang dengan perjuangan menuntut kebebasan, kuasa dan pengiktirafan keatas universiti, ilmu dan pilihanraya kampus. ianya seperti satu kewajipan kepada setiap orang muda untuk bangun melawan perkara-perkara yang tuan sekat.

saya kira lebih mudah jika disebut begini : tuan suka campurtangan dalam hal-hal universiti, pilihanraya kampus, serta akademik. tetapi tuan, kami tidak menyukainya, kami lebih suka jika universiti mempunyai hak untuk menentukan haluan sendiri tanpa campurtangan pihak tuan. jika saya tidak dilarang berlaku jujur, saya kira kerana campurtangan tuan pencapaian universiti kita sukses kebawah. kalaupun ada yang naik, ia berjaya semput untuk naik ke tangga 50.

jadi tuan, jika pihak tuan tidak mahu memenjarakan kami, membunuh kami, atau menahan kami dari bersuara, maka berikanlah kami sejenis ubat yang berkesan membuat kami cepat tua. nescaya dengan ubat itu kami dapat menghilangkan rasa kasih dan sayang terhadap kebebasan.

semoga dengan ubat itu nanti kami akan berasa terlalu hina untuk menegakkan keadilan. semoga dengan ubat itu kami berasa jelek untuk menolak penindasan. dan semoga ia berkesan membuat kami terus mengantuk dan hilang risau keatas kebodohan.

saya sebagai wakil pelajar yang menyokong penuh peranan tuan dalam membuntukan jalan fikiran orang muda, dengan ini berharap benar supaya bantuan ubat tersebut dapat disegerakan.

saya akhiri surat saya dengan tahniah keatas kegigihan pihak tuan selama 50 tahun berjuang mereputkan fikiran anak muda sambil memetik kata-kata founding father tuan -- perjuangan belum selesai.


Atas dasar kasihkan tuan,
Mahu Mati Muda