Selasa

takut cinta habis. aku tak akan luahkan.

ada perkara penting telah aku lakukan sepanjang berkeras menahan diri dari meluahkan perasaan kepada orang yang semakin kugilai. aku menulis dialog. sebenarnya ia adalah monolog. ia adalah sebuah bicara dari aku kepadanya yang terlebih jujur dan terawan-awang.

aku rasa ada perasaan kedekut kerana tidak mahu berkongsi. aku sendiri mengerti bahawa ini adalah satu rasa yang jarang-jarang dapat dinikmati oleh semua orang. aku berat melepaskannya walaupun kepada orang itu. jika dapat diibaratkan, aku lebih suka memandangnya begini : katakanlah bahawa cinta itu berbentuk air dan aku ada sebuah bekas yang menadahnya. air yang lama telah kering kerana kebocoran bekas ku tadi. setelah bertungkus lumus menampal bekas, kini aku sedia mengumpul kembali air-air yang jernih. kemudian terlahir cinta terhadap yang aku gilai. kata-katanya, rupa-wajahnya, gaya fikirnya, suaranya, oh.. segalagalanya bagaikan mengalir dalam titisan kecil mengisi ruang bekas ku yang bertampal-tampal. maka sekarang aku peroleh sebuah bekas berisi air. jika dikongsikan kepadanya pasti bekas ini akan bertambah besar dan air boleh diisi lebih banyak. tapi bagaimana jika dia menolaknya? mula-mula aku akan bersedih. kemudian aku sendiri akan menyepak bekas itu sehingga segala air yang ku tadah tersejat di panas mentari.

aku kira itu satu kerja bodoh. menampal bekas yang berlubang kerana disepak bukan satu kerja mudah dan aku liat untuk mengulanginya. justeru, aku berfikir baik aku sahaja yang memiliki bekas dan segala isinya. kalaupun benar dia mahu berkongsi, pengetahuan menakutkan aku bahawa bekas yang melempah airnya boleh berkecai di tembus jarum.

aku bukanlah orang jiwang yang meronta nafas hanya untuk memanah jiwa. aku lebih atas dari mereka - mungkin kamu juga. aku cintakan dia dan selamanya dia didalamku - biar dia tidak tahu. monolog ini adalah rakaman bahawa ada cinta yang tak pernah aku habiskan dengan siapa-siapa. bacalah setelah aku tiada.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

keasyikan dan ketakutan dalam cinta.benar,cinta untuk dinikmati,bukan untuk dihabiskan.akhirnya,anda berjaya mendefinisikan apa itu cinta,mengumpamakannya dan bagaimana rasanya dalam versi bahasa melayu.

Tea Cha Hai berkata...

cinta....ada lagi....?