Selasa

apa bagusnya kamu?

seorang kaunselor bertanya kepada aku : apakah yang bagus mengenai aku? lalu aku jawabkan : mungkin anda akan menggangap saya bagus kalau saya menjawab seperti jawapan yang anda sukai, tetapi sebelum itu saya terlebih dahulu ingin berkata tidak tahu kerana yang bagus bukanlah saya tetapi ciri-ciri yang ada didalam saya. jadi, jawapan yang berbunyi "saya bagus kerana..." tidaklah begitu merana bila saya biarkan menjadi kata-kata tidak berguna kerana saya tahu saya masih belum cukup bagus untuk menerangkan betapa bagusnya saya menerusi ciri-ciri yang disukai orang.

kalau kamu tidak mengerti kehebatan kamu, bagaimana mungkin kamu memasarkan diri dalam suasana yang serba mencakar ini?

bukankah satu barangan yang baik dipasarkan oleh orang lain? dahulu saya pernah cuba memasarkan diri tetapi sebaik sahaja diri saya telah dipasarkan saya segera tahu bahawa waktu itu saya bukan memasarkan diri. saya malah kurang pasti samada perasaan memasarkan diri berbeza dengan perasaan seekor anjing yang gigih mencari tuan dan memohon padanya untuk menghadiahkan tali pengikat. perasaan seperti itu cukup lekas membuat seseorang jatuh buntu dan hilang semangat. saya kurang yakin untuk mengulanginya semula.

jikalau begitu kiranya, adakah kamu hanya menunggu orang lain untuk membantumu berjaya kelak?

begini tuan kaunselor, hidup saya berlandaskan kepercayaan. salah satu darinya adalah saya percaya bahawa saya telah ditakdirkan menjadi seorang yang hebat. hebat ataupun tidak saya ini hanya ditentukan selewat-lewatnnya setelah saya mati nanti. justeru, sementara saya masih hidup, saya harus menemukan jalan - jalan yang membawa saya kepada takdir yang saya percaya. oleh itu, jika saya dilihat sebagai satu barang yang ternyata bernilai, jawabnya akan ada orang yang memasarkan saya. jika tidak, maka saya hanya segumpal sampah yang menunggu masa untuk diterajang jauh.

sesekali aku lihat wajahnya termenung jauh. aku juga berpaling dari memandangnya. lebuhraya yang sedang kami lalui itu tiada liputan radio dan telefon. hanya bunyi angin dan aroma kretek yang memenuhi suasana. saudara kaunselor itu mempunyai hubungan darah dengan aku, tetapi apabila dia menjadi kurang sepupu dan lebih kaunselor maka aku terasa mahu benar melawan setiap kata-katanya.

Tiada ulasan: